Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Zakaria Ahmad berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 5,069 kes berkaitannya dan telah menahan seramai 1,973 individu yang dipercayai terlibat dengan kegiatan jenayah itu.

“Tiga jenis penipuan yang paling banyak berlaku pada masa kini adalah penipuan telekomunikasi (Macau Scam), penipuan berkaitan pembelian dalam talian (e-dagang)  dan ‘love scam’ (yang biasanya didalangi warga Afrika).

“Misalnya, penipuan telekomunikasi menunjukkan terdapat kebocoran data melibatkan penggunaan kad debit dan kredit apabila suspek membuat panggilan tentang maklumat tersebut ketika membuat panggilan palsu,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Seminar Trend Terkini Jenayah Komersial di Ibu Pejabat JSJK di sini hari ini.

Mohd. Zakaria menambah, bank perlu memainkan peranan dengan menyimpan maklumat peribadi pelanggannya dengan lebih ketat.

“Untuk e-dagang, pengguna juga perlu berhati-hati semasa membeli barangan dalam talian antaranya Facebook dengan menggunakan kaedah pembayaran melalui ‘COD’ (bayaran semasa penghantaran) bagi mengelakkan ditipu.

“Polis juga ingin menasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan skim ‘love scam’ yang  selalunya dilakukan oleh suspek dari luar negara dan ‘memancing’ mangsa dengan mengatakan akan menghantar bungkusan hadiah namun ia perlu dibayar mangsa sebagai wang pemprosesan untuk melepasi pihak kastam,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pihaknya mencatatkan kerugian bernilai RM2 bilion setahun dari tahun 2015 hingga tahun lalu melibatkan kes jenayah komersial termasuk pinjaman tidak wujud dan penipuan skim pelaburan.

“Ia secara tidak langsung akan menjejaskan ekonomi negara kerana mungkin ada pihak luar kurang yakin untuk membuat pelaburan di negara ini selepas melihat statistik tersebut.

“Mereka juga melihat daripada segi kelemahan aliran wang masuk dan keluar dengan mudahnya,” katanya. - K! ONLINE