Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata JPS Kelantan turut memperuntukkan sebanyak RM558,481.47 sebagai peruntukan tambahan untuk melaksanakan kerja-kerja kecemasan di luar jangka sebagai persediaan sebelum atau selepas banjir.

"Peruntukan kecemasan luar jangka itu digunakan bagi memulih kembali jalan atau jambatan yang rosak serta memulihkan struktur kawalan (banjir) dan pembetung di seluruh jajahan.

"Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM57,000 kepada JPS cawangan Kota Bharu untuk tujuan persiapan bagi menjamin air dapat mengalir lebih baik," katanya di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Rohani Ibrahim (PAS-Tanjong Mas) yang ingin tahu langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi menghadapi banjir pada 2017 khususnya di bandar Kota Bharu dan kawasan-kawasan yang sering berlaku banjir.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Pelaburan dan Kewangan negeri, berkata kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan JPS Kelantan bagi mengatasi masalah hakisan pantai di Pantai Pulau Kundur.

"Sebahagian projek hakisan pantai telah dilaksanakan di Kuala Besar serta Pantai Pulau Kundur dan pada masa sama, kita  berjaya atasi masalah bot nelayan yang tidak dapat mendarat di jeti kerana muka kuala yang cetek," katanya ketika menjawab soalan tambahan Wan Ubaidah Omar (PAS-Kijang).

Wan Ubaidah ingin tahu sama ada kerajaan negeri telah mengorek muka kuala Kuala Besar yang semakin cetek sehingga menyukarkan nelayan untuk mendarat di jeti serta sebarang projek untuk mengatasi hakisan pantai di Pantai Pulau Kundur. - Bernama