Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, inisiatif terbaharu JPN sebelum ini adalah pengeluaran MyKad dalam tempoh 45 minit daripada 24 jam di semua pejabat JPN yang mempunyai mesin percetakan sendiri.

"Inisiatif (MyKad siap 45 minit) ini telah berkuatkuasa sejak 1 April 2018, namun saya tidak mahu kecemerlangan ini terhenti di sini sahaja.

"Saya ingin melihat JPN menyahut cabaran seterusnya bagi pengeluran MyKad dalam tempoh 30 minit sahaja pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JPN bagi tahun 2017 di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan anugerah dan sijil penghargaan kepada 347 penerima APC yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Dalam pada itu, Alwi berkata, pihaknya juga berbangga dengan pelancaran Bas Mobil JPN yang merupakan salah satu insiatif di bawah sub projek hab percetakan teragih.

"Melalui pelaksanaan projek ini, pelanggan boleh membuat permohonan gantian MyKad di bas mobil JPN di mana MyKad berkenaan akan dicetak di mana-mana pejabat JPN berstatus hub percetakan teragih. 

"Usaha-usaha terbaharu JPN ini dilihat bakal mengubah landskap penyampaian perkhidmatan JPN kepada rakyat selaras dengan slogan 'Rakyat Di Hati JPN'," katanya.

Tambah beliau, fungsi dan isu pendaftaran negara merupakan satu tanggungjawab di mana setiap individu yang layak berhak untuk didaftarkan dan diberi dokumen pengenalan untuk urusan harian sama ada rasmi atau peribadi.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Mohammad Razin Abdullah. -K! ONLINE