Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, laporan tersebut dibuat oleh Unit Komunikasi Korporat, JPN di ibu pejabat polis daerah Putrajaya di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Jelasnya, dalam laporan sama, JPN juga melaporkan dakwaan kes pemberian MyKad kepada lima warganegara China tiga tahun lalu di Sabah oleh beberapa pemilik akaun media sosial.

"Laporan ini dibuat agar pihak polis dapat mengambil tindakan mengikut peraturan sedia ada. Selain itu, kita juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan pemilik akaun media sosial ini.

"Melalui laporan ini, saya mahu memastikan peranan JPN sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menjalankan tugas mengikut Akta Pendaftaran Negara dan Perlembagaan Persekutuan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Baru-baru ini, gambar seorang wanita warganegara China yang memiliki MyKad tular di media sosial sehingga menyebabkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai kredibiliti agensi kerajaan itu.

JPN dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata, kerajaan tidak sewenang-wenangnya memberikan kewarganegaraan kepada rakyat asing dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang menyebarkan sebarang isu berunsur fitnah.

Jelasnya, isu berhubung warga China miliki kad pengenalan MyKad ialah isteri kepada warganegara Malaysia yang memperoleh kewarganegaraan pada September 2017 di bawah Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan.


Selain itu, sebagai isteri kepada warganegara Malaysia yang berkahwin secara sah mengikut undang-undang Malaysia boleh memohon kerakyatan setelah memenuhi syarat yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, menurut Ruslin, dakwaan lima orang warganegara China yang mempunyai MyKad itu pula merupakan kes sindiket pemalsuan dokumen empat tahun lalu.

Jelasnya, kes itu telah telah diambil alih oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah pada tahun yang sama.

"Justeru, orang ramai digesa agar tidak mudah menyebarkan maklumat yang diterima di Facebook, Twitter atau WhatsApp," katanya. - K! ONLINE