Ketua Pengarahnya, Datuk Shaharudin Khalid berkata, jawatankuasa khas di peringkat dalaman itu ditubuhkan minggu lalu bagi mengkaji semula sistem dan prosedur kerja khusus untuk menangani isu rasuah dalam kalangan kakitangan jabatan itu.

"Jawatankuasa ini akan memberi laporan dan syor-syor sewajarnya kepada saya dalam tempoh dua minggu lagi.

"Ia bukan hanya menumpukan kes tersebut sebaliknya turut melibatkan usaha penambahbaikan jabatan ini secara keseluruhan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di JPJ di sini hari ini.

Shaharudin berkata, pihaknya juga akan melihat keperluan untuk menyerahkan hasil laporan jawatankuasa itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Apa yang berlaku kadang-kadang sistem sedia ada mungkin sudah lama jadi perlu teliti semula bagi memastikan tiada ruang dan peluang untuk melakukan perbuatan tidak diingini termasuk isu rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pertambahan penahanan SPRM ke atas 22 lagi penguatkuasanya di Pulau Pinang, Shaharudin menyifatkan ia adalah di luar jangkaan pihaknya.

Bagaimanapun, beliau berkata operasi di negeri itu tetap diteruskan dengan sokongan kekuatan pasukan daripada negeri Kedah dan Perak.

"Tiada rombakan setakat ini kerana hanya membabitkan pegawai di peringkat penguatkuasaan sahaja dan tidak melibatkan pengurusan lain," katanya.

Pada masa sama, Shaharuddin sekali lagi mengingatkan semua kakitangannya agar mementingkan integriti dan tanggungjawab ketika menjalankan tugas.

"Sikap tanggungjawab kena ada, sila laporkan kepada pegawai atasan sekiranya ada pihak yang cuba memberi rasuah.

"Begitu juga dengan orang awam, jika ada anggota atau pegawai JPJ yang meminta rasuah sila laporkan kepada pihak berwajib," katanya. - K! ONLINE