Dalam operasi khas bermula pada pukul 10 pagi itu, seramai 20 pegawai dan anggota JPJ negeri mengadakan sekatan jalan raya di pos kawalan Cabang Empat Salam, Rantau Panjang dekat sini.

Operasi khas tersebut dijalankan selepas pihak JPJ serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengesan terdapat pihak serta sindiket tertentu membawa masuk kenderaan dari Thailand melalui pintu masuk di sempadan-sempadan dengan menggunakan dokumen serta permit palsu bagi memohon ICP.

Timbalan Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Apandi Jusoh berkata, pihaknya mengesan pihak terlibat itu menggunakan dokumen-dokumen seakan-akan tulen yang diperlukan untuk mendapatkan ICP.

jpj
Jabatan Pengangkutan Darat Thailand mengakui terdapat sindiket pemalsuan ICP.

 

"Apabila disemak dokumen itu merupakan dokumen palsu. Kita merujuk kepada Jabatan Pengangkutan Darat Thailand dan pihak mereka turut mengakui wujud sindiket yang menjalankan pemalsuan dokumen tersebut.

"Sehubungan itu dalam operasi khas ini kita mengesan lima buah kenderaan Thailand tidak mematuhi ICP tersebut. Kelima-lima kenderaan itu telah diambil tindakan (dihalang memasuki negara ini)," katanya ketika ditemui di sini semalam. - K! ONLINE