Salah laku itu terbongkar susulan penyamaran anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dan Selangor menerusi Ops IM bermula 8 pagi hingga 1 petang.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Zamakshari Hanipah berkata, senario tersebut mencerminkan sikap sambil lewa di kalangan tenaga pengajar dalam melahirkan bakal pengguna lalu lintas yang kompeten dan berkualiti. 

Katanya, tenaga pengajar tersebut boleh berdepan tindakan penggantungan sehingga setahun selepas diputuskan melalui Jawatankuasa Perlesenan Institut Memandu. 

"Menerusi operasi itu, sebanyak 14 notis saman dikeluarkan meliputi kesalahan membiarkan calon bersendirian, pengajar tidak memakai tali pinggang keledar, pengajar merokok, lesen L calon tamat tempoh, cukai jalan dan insurans kenderaan tamat tempoh. 

"Turut disita adalah empat buah kenderaan tenaga pengajar yang membiarkan calon memandu secara bersendirian," katanya ketika ditemui pemberita selepas Ops IM tersebut. 

Beliau menambah, operasi tersebut dilakukan secara berkala pihaknya susulan aduan daripada ibu bapa calon terhadap IM di seluruh negara berhubung salah laku tenaga pengajar terutama dalam membiarkan calon memandu sendirian. 

Ujarnya, perbuatan tersebut tidak harus dilakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku terhadap calon tersebut. 

"Kita memandang serius perkara ini kerana bagi memastikan sistem penyampaian dan pembelajaran IM yang berkesan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. 

"Setakat ini, sebanyak dua peratus IM telah digantung permitnya daripada jumlah keseluruhan 226 IM beroperasi di seluruh negara,"katanya. - K! ONLINE