Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ismail Mohd. Zawawi berkata, dalam operasi yang dijalankan itu seramai 145 warga asing memandu pelbagai jenis kenderaan telah diperiksa.

Menurutnya, warga asing yang diperiksa terdiri daripada 70 warga Myanmar, Indonesia (23), India (11), Pakistan (7), Bangladesh (6), Nepal (2), dan lain-lain (26). 

"Antara kesalahan yang dilakukan mereka ialah tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh. Motosikal dan kenderaan lain dipandu mereka akan disita," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi PEWA di Jalan Ampang di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memberi tempoh selama tiga bulan bagi pemilik berdaftar menuntut semula kenderaan mereka sebelum tindakan lanjut diambil. 

"Operasi ini dijalankan bagi memastikan warga asing mematuhi peraturan jalan raya yang sudah ditetapkan di negara ini," katanya. - Bernama