Sebanyak 1,900 motosikal telah diperiksa dalam operasi yang bermula pada pukul 9 malam dan berakhir pada pukul 12 tengah malam itu.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd. Zawawi berkata, operasi berkenaan diadakan untuk mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh penunggang motosikal dan mengurangkan risiko kadar kemalangan maut yang membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal sebanyak 60 peratus.

“Bagi operasi malam ini, sebanyak 475 saman telah dikeluarkan dan 15 motosikal disita kerana melakukan beberapa kesalahan. Antara kesalahan yang ketara adalah tidak mempunyai lesen memandu, tidak memakai topi keledar, memakai nombor plat yang menyukarkan pengecaman serta cukai jalan yang tamat tempoh.

“Operasi ini dilakukan sebanyak empat kali dalam tempoh dua minggu yang bermula pada 29 Januari lalu hingga 12 Februari ini sempena Perayaan Tahun Baru Cina,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi berkenaan di Plaza Tol Jalan Duta di sini malam tadi.

Operasi tersebut disertai oleh 69 anggota dan pegawai daripada beberapa badan penguatkuasaan lain antaranya Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya.

Ismail menambah, pihak polis turut mengeluarkan 45 saman melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan trafik.

“Pihak JIM juga telah menahan sembilan lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga India yang berumur antara 25 hingga 60 tahun kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini. Kesemuanya disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Seorang wanita berusia 25 tahun telah ditahan setelah didapati positif dadah methaphetamine daripada 28 penunggang dan pembonceng yang menjalani ujian awal saringan air kencing,” ujarnya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 2,123 saman telah dikeluarkan sepanjang operasi yang berlangsung sejak 29 Januari lalu hingga semalam.

“Kita telah memeriksa sebanyak 13,936 kenderaan termasuk bas, lori, motosikal dan kereta dan daripada kesemuanya sebanyak 17 kenderaan telah disita.

“Pihak JPJ juga telah menjalankan Operasi Penyamaran Bas dengan pegawai menyamar sebagai penumpang bas ke lokasi tertentu. Sehingga masa kini, kita telah mengenal pasti 10 kes yang melibatkan kesalahan kelakuan pemandu bas semasa memandu,” katanya. - K! ONLINE