Pengarahnya, Severinus Tukah berkata, pihak PLUS Malaysia Berhad mencadangkan supaya laluan kecemasan dibuka di kawasan Slim River, namun perjalanan trafik di kawasan berkenaan masih lancar sehingga hari ini.

"Sejak 29 Mei lalu, kebanyakan laluan masih bergerak lancar, kita lihat sehingga 7 dan 8 Jun nanti kalau ada berlaku kesesakan di mana-mana kawasan, kita akan buka laluan kecemasan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada program 'Moh Komer Bersama MB', iaitu Program Sentuhan Menteri Besar dan JPJ Perak Bersama Pengguna Jalan Raya Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Severinus berkata pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 1,099 notis dan saman hasil pemeriksaan ke atas 3,591 kenderaan yang diperiksa atas pelbagai kesalahan jalan raya sejak 29 Mei sehingga hari ini. - Bernama