Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik Ibu Pejabat JPJ melalui satu kenyataan menjelaskan, langkah tersebut diambil susulan insiden ancaman jenayah yang berlaku di Batang Benar, Negeri Sembilan pada 8 Januari lalu yang melibatkan seorang anggota penguji dan seorang calon sewaktu proses pengujian sedang berjalan.

“Berikutan kes tersebut, JPJ akan meneliti dan memperkemaskan SOP sedia ada bagi mengelakkan kejadian serupa berulang serta mengurangan risiko keselamatan yang melibatkan anggota pengujian serta calon sewaktu proses pengujian diadakan.

“Sebagai perancangan, JPJ akan turut melaksanakan ‘e-testing’ yang mengaplikasikan teknologi sensor dan kamera dalam urusan pengujian,” ujar kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, pelaksanaan tersebut juga akan menjadikan keputusan ujian lebih objektif di samping mengurangkan campur tangan manusia dalam proses ujian dan penilaian.

Kosmo! semalam melaporkan tindakan seorang penuntut kolej berusia 18 tahun yang bertindak menghunuskan sebilah pisau kepada seorang anggota JPJ apabila diminta untuk memberhentikan kenderaan di bahu jalan selepas melakukan kesalahan mandatori iaitu tidak berhenti di lampu isyarat.

Anggota JPJ tersebut bagaimanapun berjaya meloloskan diri dan menghubungi penyelia calon serta pihak polis bagi mendapatkan bantuan. - K! ONLINE