Penggemar raja buah itu boleh menikmati pelbagai jenis durian seperti Musang King, Duri Hitam, 101, D24 dan Udang Merah dengan harga berpatutan.

Pemilik kebun tersebut, Mohd. Lokman Mohd. Isa berkata, program julung kali itu diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.

"Kita menyediakan buah yang berkualiti sehingga ia diikat menggunakan tali agar durian tidak gugur ke tanah.

"Kaedah ini bagi memudahkan kita memungutnya setelah tangkai tercabut dari dahan dan buah kekal bersih kerana tidak terkena tanah," katanya.

Menurutnya, orang ramai bukan sahaja dapat merasai buah durian segar, malah pihaknya akan menggantikan buah yang rosak serta-merta demi kepuasan pelanggan.

"Kita juga memberi peluang kepada pelanggan untuk mengutip buah durian yang baharu gugur di dusun seluas hampir empat hektar dan mereka boleh mendapatkan penerangan mengenai kaedah tanaman dan penjagaan pokok," ujarnya.

Mohd Lokman memberitahu, dia juga akan menunjukkan demonstrasi tut pokok durian bagi memudahkan pelanggan yang berminat untuk menanamnya di rumah.

"Kita juga menjual anak pokok durian pelbagai jenis dan orang ramai yang berminat boleh membelinya," jelasnya. - K! ONLINE