Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, keputusan dicapai dalam mesyuarat exco pagi tadi setelah mengambil maklum balas dan keresahan di peringkat akar umbi.

"Kita menyedari bahawa perubahan yang melibatkan Akta 668 ini pastilah akan memberi implikasi dalam keseluruhan pergerakan belia termasuklah dari aspek keabsahan pendaftaran pertubuhan belia (ROY) dan sebagainya.

Ingin saya tegaskan sekali lagi, pindaan ini adalah pindaan akta yang terkait langsung dengan soal perundangan. Ia bukan sekadar suatu dasar sepertimana Dasar Belia Negara yang pernah dilancarkan Perdana Menteri Najib Razak pada tahun 2015 yang lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan membantu menyelaraskan hal ehwal teknikal di peringkat negeri berhubung keputusan terbabit bagi memastikan pertubuhan-pertubuhan belia sedia ada, bersedia dengan perubahan yang dipinda.

Ini penting agar mereka dapat terus bergerak dalam kerangka pindaan baru itu, kata Sheikh Umar.

"Mengikut Menteri Belia dan Sukan, tarikh pewartaan (pindaan) adalah pada 31 Disember 2021.

Tempoh dua tahun ini adalah mencukupi bagi pihak kerajaan negeri untuk menyemak dan memperluaskan 'engagement' bagi menerapkan pemahaman ke akar umbi," katanya.

Semalam, kerajaan negeri melalui Pejabat Menteri Besar Johor  mengambil pendirian mengekalkan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun.

Pendirian dibuat bagi memastikan pelan perancangan yang telah dirangka, khusus melibatkan belia tidak akan terbantut perlaksanaannya.

Pindaan RUU itu yang antaranya bertujuan menurunkan had umur dalam takrif belia daripada 40 kepada 30 tahun diluluskan dalam persidangan Dewan Rakyat, minggu lalu. - Bernama