Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, operasi khas selama dua hari itu turut mencatatkan rekod tertinggi pengeluaran notis kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Menurut beliau, operasi itu dijalankan oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Inspektorat dan Perundangan JKNT, Mohamad Jaafar dengan kekuatan 97 anggota penguatkuasa kesihatan dari lapan daerah.

"Hasil operasi dan tinjauan yang dilakukan, kita dapati masih ramai yang tidak mematuhi peraturan yang telah dikuatkuasa walaupun terdapat puluhan notis dan papan tanda di kawasan berkenaan.

"Situasi paling menyedihkan apabila anggota penguatkuasa menemui banyak puntung dan kotak rokok yang bersepah di sekitar papan tanda yang dipasang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Mohammad, kesemua 172 notis kesalahan itu dikeluarkan di kawasan Medan Selera Pusat Kolam Renang, Medan Selera dan Pentas Utama Batu Buruk serta Medan Selera Laluan Pantai Batu Buruk.

Tambah beliau, operasi khas itu turut merekodkan jumlah kutipan kompaun tertinggi sebanyak RM43,000.

Dalam pada itu, menurut Mohammad, projek TBAR akan diperluaskan ke daerah-daerah lain meliputi Padang Astaka (Kemaman), Tasik Kenyir (Hulu Terengganu), Dewan Arena Square (Dungun), Taman Awam Pulau Kekabu (Marang), Taman Awam Gong Badak (Kuala Nerus), Boardwalk (Setiu) serta Kota Putera Square (Besut). - K! ONLINE