Pengarahnya, Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata, kesemua produk berkenaan dirampas hasil pemeriksaan di 39 premis dalam operasi 'Ops Label' yang dijalankan di seluruh negeri ini. 

Beliau berkata, operasi itu tertumpu kepada produk makanan yang dijual di premis warga asing serta premis yang menjual produk makanan kesihatan dan produk makanan import.

"Pemeriksaan meliputi semua maklumat pada label produk makanan hendaklah dalam Bahasa Malaysia bagi produk makanan yang dikilangkan di Malaysia. 

"Bagi produk makanan import perlu dilabelkan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. 

"Selain itu, kita turut memeriksa keperluan bagi semua label makanan untuk mempunyai nama sebutan sebenar makanan,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Menurut beliau, perkara lain turut dititikberatkan adalah senarai bahan ramuan serta berat bersih atau isipadu isi bungkusan. 

"Bagi produk makanan yang dikeluarkan, disediakan atau dibungkus di Malaysia, label makanan perlu menyatakan nama dan alamat pengilang atau pembungkus atau pengedar. 

"Manakala, untuk produk makanan yang diimport, label makanan perlu menyatakan nama dan alamat pengilang di luar negara serta nama dan alamat syarikat pengimport di Malaysia,"katanya

Jelas beliau, antara kesalahan yang paling ketara yang ditemui dalam operasi ini ialah akuan kesihatan yang tidak dapat disahkan pada label makanan selain akuan kesihatan yang ditemui yang menyalahi peruntukan PPM 1985.

Tambah Khalid, dalam operasi itu pihaknya turut mengeluarkan  31 notis bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 bagi pelbagai kesalahan selain  kompaun berjumlah RM116,000.00.

"Kita sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh menyebabkan kekeliruan dan penipuan dalam pengilangan dan penjualan produk makanan kepada pengguna. 

"Tindakan penguatkuasaan yang berterusan akan dilakukan bagi memastikan tahap keselamatan dan kualiti makanan di negara ini adalah terkawal," katanya. 

Justeru, Khalid menegaskan sebarang aduan berkaitan dengan keselamatan makanan boleh terus menghubungi 
JKN Selangor atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan iaitu www.facebook.com/. - K! ONLINE