Pengarahnya, Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata, pemantauan itu dilakukan di lima buah klinik sentinel Kementerian Kesihatan Malaysia secara bulanan.

Katanya, lima buah klinik sentinel tersebut adalah Klinik Kesihatan Kota Damansara, Klinik Kesihatan Seksyen 7, Shah Alam ;Klinik Kesihatan Pandamaran, Klang ; Klinik Kesihatan Teluk Datok, Kuala Langat dan Klinik Kesihatan Kuala Selangor.

"Memandangkan keadaan berjerebu semasa, kita akan memulakan pemantauan harian penyakit-penyakit berkaitan jerebu ini.

"Bagi tempoh seminggu yang lalu tidak terdapat peningkatan yang ketara dalam kedatangan pesakit bagi penyakit berkaitan jerebu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) diperolehi hasil kerjasama dengan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan lima kawasan mencatat IPU tidak sihat di Selangor selama dua hari sejak semalam.

Ujar Khalid, ini termasuk Petaling Jaya (IPU: 102-134), Shah Alam (IPU: 102-130),  Pelabuhan Klang (IPU: 102-119), Banting (IPU: 101-123) dan Johan Setia, Klang (IPU: 143-160).

"Justeru, orang ramai dinasihatkan memperbanyakkan minuman air kosong, mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan penghawa dingin dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman ketika memandu kenderaan," katanya. - K! ONLINE