Pengarah JKM negeri, Burhanuddin Bachik berkata, perintah itu dikeluarkan mengikut Peruntukan Seksyen 19 Akta Kanak-Kanak 2001.

"JKM negeri telah diberikan hak jagaan sementara selama sebulan oleh mahkamah dan dalam tempoh itu kami akan berusaha mencari waris yang berkelayakan untuk menjaga kesemua lapan beradik yang diselamatkan.

"Kami berharap waris yang layak boleh tampil untuk memohon hak penjagaan namun sekiranya tiada, kami akan mendapatkan perintah penjagaan tetap dan menempatkan mereka di institusi JKM mengikut kategori sehingga umur mereka mencapai 18 tahun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan lapan beradik termasuk dua bayi yang hidup dalam keadaan serba daif berusia antara dua minggu hingga 15 tahun diselamatkan JKM negeri di sebuah rumah di Kampung Tengah, Bukit Rambai di sini semalam. 

Kesemua kanak-kanak itu diselamatkan sejurus ibu dan bapa mereka masing-masing berusia 43 serta 38 tahun diberkas selepas pihak polis menemui dadah jenis syabu seberat 0.15 gram di dalam rumah berkenaan. 

Empat daripada lapan beradik itu yang berusia 10, 11, 13, 15 tahun turut dilaporkan tidak bersekolah sejak awal tahun ini, malah lebih menyayat hati apabila kanak-kanak itu mendakwa sering makan nasi goreng kosong bersama garam manakala anak-anak kecil tidak diberikan susu. - K! ONLINE