Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, seorang wanita Thailand, Mis Munah Sanibu, 47, yang menyedari kebakaran terus bertindak menjerit meminta semua penghuni keluar dari rumah.

Menurut Mis Munah, ketika kejadian dia sedang memasak untuk juadah bersahur sebelum terdengar bunyi bising seperti kayu patah.

"Saya terus keluar dari rumah sebelum ternampak api sedang marak di salah sebuah unit rumah kedai.

"Dalam keadaan panik, saya menjerit rumah terbakar dan meminta semua penghuni keluar dari rumah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Katanya, dia hanya sempat masuk ke dalam rumah untuk mengambil tudung manakala barangan berharga lain gagal diselamatkan.

"Selain rumah, kebakaran turut memusnahkan premis lain seperti kedai menjual basikal, barangan plastik, kedai insurans dan klinik pergigian," ujarnya.-K! ONLINE