Dirinya cuma tahu mengembang. Madah ini sebenarnya menyimpan kualiti jati diri yang perlu ada dalam kebobrokan hari ini kala manusia semakin gemar membandingkan diri antara satu sama lain.

Apatah lagi dalam dunia tanpa sempadan menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter atau Instagram yang membolehkan kita mencemburui ‘kesempurnaan’ hidup jutaan orang di hujung jari.

Lebih memburukkan, pe­rasaan membandingkan fizikal atau kehidupan diri dengan orang lain yang tercetus secara tidak langsung semasa menggunakan media sosial ini boleh menyebabkan rasa sedih, rendah diri, kemurungan dan masalah mental.

Oktober tahun lalu, kerajaan Malaysia mendedahkan penyakit mental akan menjadi masalah kesihatan kedua utama selepas penyakit jantung menjelang 2020.

Statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan isu penyakit mental dalam kalang­an rakyat semakin membimbangkan.

Sebenarnya sudah terlalu banyak kajian antarabangsa tentang hubungan media sosial dengan masalah mental di seluruh dunia.

BBC pernah melaporkan, kira-kira tiga bilion atau 40 peratus penduduk dunia memperuntukkan dua jam sehari membelek media sosial dan ia boleh menjadi aliran stres yang berterusan bagi remaja.

Manusia mudah berasa iri melihat kecantikan wajah dan fizikal, populariti pengikut atau jumlah likes, kekayaan dan kemewahan serta ‘ke­sempurnaan’ hidup orang lain walhal kajian mendapati 66 peratus pengguna media sosial hanya mahu memperlihat kehidupan mereka tampak menarik dan menyeronokkan.

Terbaharu, satu kajian oleh Universiti Essex di Britain mendapati golongan muda yang menghabiskan masa sehingga berjam-jam di media sosial mempunyai risiko kemurungan yang lebih besar.

Kajian itu mendapati 12 pe­ratus pengguna media sosial ringan menghadapi simptom kemurungan dan 38 peratus pengguna media sosial tegar mempunyai simptom kemurungan.

Satu kajian terbaharu di Amerika Syarikat pula mendapati semakin kurang seseorang itu menghabiskan masa di media sosial semakin kurang mengalami simptom kemurungan.

Pengkaji telah meminta 140 pelajar yang mempunyai kecenderungan depresi untuk terus menggunakan media sosial seperti biasa atau me­ngurangkan penggunaannya kepada 30 minit sehari.

Hasilnya mereka yang mengurangkan penggunaannya didapati mengalami pengurangan simptom kemurungan dalam tempoh tiga minggu kajian itu.

Bukan sahaja mereka yang melihat Instagram orang lain akan mengalami kemurungan, malah individu bergelar selebriti Instagram juga berdepan masalah serupa.

Ini dikongsikan oleh seorang pakar motivasi, Jay Shetty di laman YouTube tentang seorang gadis bernama Cleo yang sentiasa terlihat menarik di Instagram walhal jiwanya penuh kesepian.

Di luar dia terlihat mempunyai rupa paras yang memukau, tubuh yang sempurna dan kehidupan sosial yang menyeronokkan, di rumah dia bergelut dengan pil-pil untuk melawan tekanan perasaan.

Dia mungkin mempunyai jutaan pengikut tetapi hakikatnya tidak ada sesiapapun yang benar-benar menjadi teman berkongsi masalah.

Hidup setiap orang berbeza. Setiap daripada kita mempunyai jalan cerita, peranan dan takdir hidup yang berlainan. Anda tidak dicipta untuk menjadi orang lain melainkan diri sendiri.

Apabila melihat ke­sempurnaan hidup orang lain di media sosial, kita tidak pernah tahu apa yang sebenarnya telah dilaluinya.

Barangkali juga mereka berjaya kerana telah mengharungi dugaan yang jauh lebih besar atau te­lah melakukan apa yang tidak kita lakukan.

Usahlah berasa begitu me­lankolik jika melihat transformasi 10 tahun orang lain yang hebat dalam cabaran #10yearschallenge yang hangat minggu ini kerana 10 tahun akan da­tang tiada siapa yang tahu nasib mereka.