Pegawai imigresen terbabit, Mohd. Khairi Othman, 38, dan isterinya, Noorashikin Azmi, 38, dari Taman Rahmat, Jitra serta kakak Mohd Khairi, Huziana, 48, dari Taman Suasana Damai, Jitra dekat sini mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mohd. Khairi yang bertugas sebagai Ketua Unit DP10, Bahagian Khidmat Ekspatariat, Ibu Pejabat JIM Putrajaya didakwa terlibat dalam dua pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Tertuduh itu didakwa menerima rasuah sebanyak RM100,000 daripada Muhammad Khairul Asri Pubin melalui akaun Maybank atas nama Hassan Muhammad Yusuf @ Daud sebagai upah mempercepatkan pengeluaran Surat Kelulusan Pegawai Dagang (DP10) bagi Syarikat MKAP Bina Sdn. Bhd. pada 16 Julai 2017 pada pukul 11.07 pagi.

Bagi kesalahan kedua di bawah kesalahan yang sama, Mohd. Khairi didakwa menerima rasuah RM50,000 daripada Lee Wai Kay melalui akaun yang sama dan tujuan sama bagi Syarikat Nature Sense Sdn. Bhd. pada 19 Jun 2015 pada pukul 1.18 tengah hari.

Selain itu, Mohd. Khairi turut berdepan dengan 18 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001 membabitkan jumlah keseluruhan RM9.2 juta. - K! ONLINE