Perintah sambung reman ke atas bapa kandung dan ibu tiri kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Khariah Abdul Razak selepas permohonan dikemukakan oleh pihak polis.

Permohonan polis dikemukakan oleh pembantu pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Firdaus Abd. Razak selepas tempoh reman ke atas pasangan suami isteri itu sejak 2 Februari lalu berakhir hari ini.

Bapa mangsa yang merupakan seorang anggota tentera berusia 35 tahun serta isterinya berusia 34 tahun tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9.25 pagi dengan memakai baju lokap jingga dan tangan masing-masing bergari.

Kosmo! pada 1 Februari lalu melaporkan murid Sekolah Kebangsaan Lukut di sini, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban.

Beliau dibawa ke hospital itu oleh bapanya selepas dia dipercayai tidak sedarkan diri di kediaman keluarganya pada malam 31 Januari lalu. - K! ONLINE