Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi memberitahu, selain wang tunai pihaknya turut menyita beberapa hartanah termasuk kediaman di Sabah, Kuala Lumpur dan Johor bernilai RM2.7 juta milik empat suspek yang direman semalam.

"Semalam kami telah membuka peti simpanan di beberapa buah bank dan menyita kira-kira RM4juta wang tunai dalam akaun berkenaan.

"Selain itu, hartanah dan rumah di tiga negeri berkenaan dibekukan bagi mengelakkan sebarang urusan jual beli atau tukar milik sepanjang tempoh siasatan dijalankan," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pada Taklimat Projek-Projek Khas Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen anjuran Pejabat Kemajuan Negeri Sabah.

Tambah beliau, pihak SPRM akan meneliti sama ada rumah milik empat suspek dianggarkan bernilai RM2.7 juta itu merupakan hasil rasuah atau salah guna kuasa.

Terdahulu, seorang ketua jurutera merangkap pemangku timbalan pengarah di JKNS direman selama tujuh hari bermula 22 hingga 28 Januari depan bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM3 juta antara tahun 2011 hingga kini.

Turut direman ialah dua jurutera di jabatan berkenaan dan seorang kontraktor.

Keempat-empat suspek berusia antara 37 hingga 58 tahun berkenaan ditangkap SPRM dalam serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini bermula pada pukul 12 tengah hari hingga 11.30 malam kelmarin.

Siasatan awal mendapati ketua jurutera dan dua jurutera JKNS berkenaan menerima suapan berjumlah lebih RM3 juta sejak tahun 2011 daripada kontraktor. - K! ONLINE