Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon, berkata, mayat mangsa, S. Lethumi, 28, dijumpai oleh seorang lelaki berusia 60 tahun sewaktu sedang mencari cendawan di kawasan tersebut kira-kira pukul 1 petang tadi.

Jelasnya, siasatan mendapati, terdapat kesan jerutan pada bahagian leher mangsa dan kepalanya juga cedera dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

"Mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum ditinggal di lokasi kejadian. Polis turut menemui satu kunci motosikal dan topi keledar berhampiran lokasi mangsa ditemui. 

"Berdasarkan kunci itu, polis berjaya menjumpai motosikal miliknya yang diletakkan di sebuah restoran di Bandar Baru Kampar dekat sini," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini sebentar tadi.

Menurut Kong Soon, polis juga percaya tiada unsur jenayah rompakan sebelum mangsa dibunuh berikutan gelang emas miliknya masih berada di tangannya sewaktu ditemui.

Ujarnya, siasatan awal terhadap mayat, mangsa dipercayai dibunuh kurang daripada 24 jam yang lalu.

"Kita telah menghubungi keluarga mangsa dan polis sedang giat menjalankan siasatan untuk mengesan suspek yang terlibat dalam pembunuhan itu," katanya.

Tambahnya, polis masih menyiasat motif pembunuhan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - K! ONLINE