Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. Berkata, tiga lelaki tempatan berumur lingkungan 25 hingga 50 tahun, seorang wanita tempatan berumur 44 tahun serta seorang wanita warga Vietnam berumur 22 tahun itu ditahan pada 12.10 malam selepas polis menjalankan risikan sejak empat bulan lepas.

"Kesemua dadah yang dirampas adalah serbuk ekstasi seberat lebih 10.2 kilogram, ketamin 5.62 gram, syabu 140.01 gram, 130 biji pil Eramin 5 seberat 37.53 gram serta empat biji pil ekstasi seberat 1.45 gram," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Khalil berkata, pemeriksaan mendapati, sebahagian dadah itu diedar dengan cara mencampurkannya ke dalam paket serbuk minuman teh berperisa mangga bagi mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata, polis merampas beberapa bahan dan peralatan dipercayai bagi memproses dadah berkenaan termasuk empat botol cecair berperisa mangga, dua botol berisi serbuk merah, alat pemampat dan alat penimbang digital. - Bernama