Timbalan Ketua Polis daerah Kuala Pilah Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata ibu tunggal kepada  tiga anak, yang berusia 32 tahun itu ditahan ketika dalam keadaan khayal.

"Hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan, seramai 17 anggota polis telah menyerbu kawasan penagihan tersebut pada Isnin lepas dan menahan 20 penagih dan dua pengedar dadah. 

"Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek dipercayai pengedar dadah, menjumpai bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 807.55 gram, methamphetamine (53.37 gram), ganja (8.7 gram), dan pil eramine 5 sebanyak enam biji, kesemuanya berjumlah RM24,000," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pihak polis turut merampas alat penimbang digital, peralatan untuk membungkus  dadah, alat untuk menghisap dadah dan dua buah motosikal jenis Yamaha 135 LC dan Honda Wave, dari dua suspek  itu.   

"Semakan rekod mendapati suspek pertama memiliki lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah  manakala seorang lagi suspek memiliki lapan rekod kesalahan berkaitan dadah dan jenayah.

"Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua suspek menunjukkan positif dadah jenis opiate," katanya.

Sementara itu, Syahrul Anuar berkata kesemua 20 penagih dadah yang berusia 32 hingga 61 tahun itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kebanyakannya merupakan penagih berulang.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(1a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya.

"Pihak polis percaya dengan tertangkapnya suspek-suspek ini, maka aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini dapat dibendung," katanya. - Bernama