Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Sahar Abd. Latif berkata, kedua-dua suspek berusia 19 dan 20 tahun itu diberkas sepasukan anggota polis kira-kira pukul 2.30 petang.

Menurutnya, serbuan tersebut dilakukan hasil risikan polis selepas menerima maklumat daripada orang awam yang curiga dengan tingkah laku mereka.

"Hasil serbuan menemui satu bekas plastik yang mengandungi dadah jenis ketamin seberat 18.8 gram serta pil ekstasi seberat 114 gram.

"Pemeriksaan lanjut menemui paket plastik warna perak masing-masing berisi campuran jus buah-buahan dan serbuk ekstasi seberat 162 gram dan pil erimin 5 seberat 78.50 gram," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan sebanyak RM37,520. - K! ONLINE