Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, dalam serbuan pada pukul 4.30 petang itu, pihaknya berjaya merampas pelbagai peralatan serta bahan-bahan memproses dadah bernilai kira-kira RM1.4 juta.

"Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar selepas mendapat maklumat intipan dan risikan.

"Kedua-dua lelaki warga tempatan yang ditahan itu masing-masing berusia 31 dan 41 tahun dipercayai menjadikan sebuah pondok yang dibina sendiri di Jalan Sulaiman, Muar bagi mengaburi pihak kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Mohd. Khalil berkata, hasil serbuan itu pihaknya berjaya merampas serbuk ekstasi seberat 13.4 kilogram (kg); ketamin (362.30 gram (g); ganja (299.30g) dan syabu (53g) bernilai RM1.4 juta.

Tambah beliau, turut dirampas pelbagai peralatan antaranya dua botol cecair Sodium Klorida; alkohol dan alat pengisar disyaki digunakan untuk memproses dadah ekstasi.

Selain itu, katanya, polis menyita masing-masing sebuah kereta jenis Perodua Myvi; Proton Perdana dan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper bernilai kira-kira RM54,000 serta wang tunai RM4,000.

"Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 26 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - K! ONLINE.