Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ashmon Bajah berkata kedua-dua suspek lelaki berusia 20-an itu ditahan pada 11 Disember lepas dan kini direman selama lima hari sehingga Jumaat ini. 

Dengan penahanan terbaru itu, polis katanya, telah menahan tiga suspek lelaki sehingga kini - kesemuanya warga tempatan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Ini termasuk penahanan suspek pertama yang dilakukan pada  4 Disember, sejurus keluarga anggota keluarga mangsa membuat laporan polis.

Berita mengenai kehilangan mangsa, Chew Kah Chun, 24, sebelum ini, dikongsikan oleh adik kandung lelakinya, Chew Kah Cheng  di akaun Facebook 'Orang Kota-Tinggi' sebelum menjadi tular dalam kalangan pengguna laman sosial terbabit.

Menurut Kah Cheng, 21, yang dihubungi Bernama, abangnya keluar dari rumah keluarga mereka di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, kira-kira 8.30 malam pada Ahad, menggunakan sebuah kereta jenis Proton Persona. 

Sebelum itu, Kah Chun ada memberitahu anggota keluarga lain bahawa dia ingin mencari seorang individu di kawasan Air Tawar 4, namun selepas beberapa ketika tidak pulang ke rumah mengakibatkan keluarganya bimbang lalu mengarahkan seorang lagi abang mereka keluar mencari mangsa.

Sehingga kini, usaha untuk mengesan mangsa masih menemui jalan buntu. - Bernama