Begitulah kita sering dimomokkan dengan ungkapan ini seolah-olah cemburu adalah penanda aras untuk membuktikan rasa sayang atau peduli seseorang kepada individu yang dicintai.

Seseorang yang terlibat dalam hubungan cinta misalnya, akan mengeksklusifkan dirinya de­ngan orang yang dicintainya. Sebab itulah jika dia merasakan ada pihak lain yang dirasakan cuba mengganggu hubungan tersebut maka tercetuslah emosi yang disebut cemburu.

Cemburu dalam bahasa Arab yang dipanggil ghirah merupakan sifat semula jadi yang wujud untuk melindungi. Bagaimanapun, impak negatif cemburu yang tidak dikawal boleh menyebabkan malapetaka besar bukan saja kepada individu yang cemburu bahkan kepada yang dicemburui.

Emosi yang terganggu akan menghasilkan emosi negatif se­perti dendam, marah dan sakit hati. Gara-gara cemburu, seorang lelaki tergamak menetak dan mencekik isterinya sehingga mati dalam satu kejadian yang berlaku di Taman Merbau Indah, Sungai Dua Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.

Kes-kes jenayah yang membabitkan cemburu dilaporkan berlaku hampir setiap minggu. Le­bih tragis ada yang mati dibakar, dibelasah hingga nyawa-nyawa ikan, ditetak dan tidak kurang dipukul hingga mati.

Kisah cemburu paling hebat pernah terjadi di alam ini yang diangkat al-Quran ialah cemburu iblis kepada Nabi Adam. Penghormatan yang Allah berikan kepada Nabi Adam sehingga iblis perlu tunduk kepadanya me­nimbulkan rasa tidak senang kepada Iblis. Episod kecemburuan ini menerima impaknya apabila Iblis langsung dicampak keluar dari syurga.

Cemburu antara manusia yang membawa kepada tragedi dan pertumpahan darah pertama dalam sejarah tamadun manusia membabitkan dua putera Nabi Adam iaitu Habil dan Qabil. Kisah ini dirakam dalam al-Quran pada surah al-Maidah ayat 27.

Selain tidak berpuas hati korbannya berupa buah-buahan yang sudah rosak tidak diterima Allah, Qabil juga tidak setuju dengan wahyu Allah supaya menjodohkan anak-anak Nabi Adam secara bersilang iaitu de­ngan kembar Habil, Labuda. Qabil enggan menerima Labuda ke­rana rupa parasnya yang kurang cantik berbanding Iqlima kembarnya. Lantas, kecemburuan yang membara inilah menyebabkan Qabil hilang pertimbangan lalu membunuh Habil.

Cemburu sebetulnya bukan isu remeh. Dalam kebanyakan kes cemburu yang keterlaluan boleh menyebabkan berlakunya penderaan pada mental dan fizikal keruntuhan rumah tangga bahkan melibat jenayah pembunuhan. Hukuman penjara atas perilaku jenayah cemburu tidak akan menyelesaikan masalah ini.

Pasangan yang dicederakan dan si pelaku memerlukan penawar psikologi dan agama bagi memulihkan trauma mental, emosi serta spiritual.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mendedahkan cemburu merupakan antara 39 faktor perceraian yang membabitkan pasangan beragama Islam di negara ini.

Selain setiap individu perlu berilmu dalam urusan membabitkan hal-hal perkahwinan, Rasulullah SAW sendiri merupakan teladan ketika berdepan kecemburuan dalam kalangan isteri-isterinya.

Hakikatnya, cemburu perlu dilihat pada konteks yang luas. Ia tidak terhad pada hubungan semata-mata. Sebaliknya, rasa cemburu ini jika dipacu mengikut landasan dan acuan yang betul ia menjadi satu sifat yang terpuji.

Bahkan agama membenarkan kita cemburu dalam dua perkara seperti yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Abu Daud Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah.

Daripada Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Tidak dibenarkan sebarang hasad kecuali terhadap dua jenis orang seseorang yang Allah SWT telah mengurniakan al-Quran maka dia membacanya siang dan malam dan didengari jirannya seraya berkata, Jika aku dikurniakan seperti beliau aku akan beramal sepertinya dan seseorang yang dikurniakan harta dan dia membelanjakan harta itu di jalan Allah siang dan malam lalu berkata seorang lelaki jika aku di tempatnya aku akan lakukan sepertinya.”

Maka, merdekakanlah minda dengan mendefinisikan cemburu pada sisi positif dengan menzahirkannya melalui tindakan yang menguntungkan lalu menjadi saham akhirat yang kekal.