fbpx

Jenayah, dadah di Seberang Perai Selatan akan dibanteras habis-habisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rahimi (tengah) bersama Ah Thiam (kanan) dan Chong Chern pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah SPS di IPD SPS, hari ini. Foto oleh ISWAN SHAFIQ ISA/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Bersedia untuk membanteras kegiatan jenayah daripada terus berleluasa selain memerangi aktiviti penyalahgunaan dadah secara habis-habisan.

Itu visi dan misi Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang baharu, Superintendan Ng Ah Thiam selepas dilantik memegang jawatan itu bagi menggantikan Superintenden Lee Chong Chern yang akan menamatkan perkhidmatannya pada 2 Julai ini.

Ah Thiam berkata, beliau juga mahu memastikan bahawa mana-mana anasir jahat yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam dapat dibendung lebih awal.

“Justeru, saya berharap akan mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak selepas ini terutamanya daripada kalangan masyarakat dan penduduk SPS dalam menjayakan visi dan misi ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, beliau dan Chong Chern menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah SPS di ibu pejabat polis daerah (IPD) SPS di sini yang turut disaksikan pemangku Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais.

Ah Thiam, 59, yang juga anak jati Sungai Bakap di sini sebelum ini pernah dua kali bertugas di Pulau Pinang iaitu sebagai Ketua Bahagian Narkotik di IPD Barat Daya kira-kira 10 tahun yang lalu dan Pegawai Turus Pelucuthakan Harta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dua tahun kemudian.

Jawatan terakhir beliau sebelum ditukarkan ke IPD SPS ialah sebagai Ketua Unit Pelucuthakan harta di JSJN Bukit Aman.

Dalam pada itu, Chong Chern yang memegang jawatan Ketua Polis Daerah SPS sejak lebih tiga tahun yang lalu berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantunya sepanjang berkhidmat sebagai anggota polis selama hampir 38 tahun. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI