Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Perkara 40 menyatakan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat jemaah menteri atau menteri yang diberikan kuasa am oleh jemaah menteri.

“Kerajaan sementara atau 'caretaker' boleh membuat tindakan-tindakan bagi maksud menjalankan urusan pentadbiran kerajaan sehingga suatu kerajaan baharu dibentuk. Antara contoh perkara pentadbiran tersebut ialah seperti meneruskan pelaksanaan dasar sedia ada dan mengadakan majlis rasmi kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen yang ke-13 berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-14 dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, Ali menjelaskan, konsep kerajaan sementara adalah suatu konvensyen perlembagaan yang turut diamalkan di negara-negara Komanwel seperti United Kingdom dan Australia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

“Dalam kes Abdul Ghani Ali lawan Pendakwaraya, Mahkamah Persekutuan turut mengiktiraf  bahawa jemaah menteri hendaklah ada pada setiap masa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong walaupun selepas Parlimen dibubarkan, selaras dengan peruntukan Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau. - K! ONLINE