Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, dengan adanya surat tersebut, jemaah Malaysia kini dilarang untuk mengambil gambar di dua masjid terbabit.

“TH juga akan mengambil tindakan proaktif dengan turut memaklumkan larangan itu kepada semua bakal haji semasa program kursus asas haji yang dilaksanakan seluruh negara bermula 2 Disember ini.

“Selain itu, penerangan dan khidmat nasihat menerusi laman media sosial juga akan dilakukan secara berkala kerana medium berkenaan lebih cepat dan mudah untuk disampaikan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Johan Abdullah menambah, jemaah disarankan untuk mematuhi segala peraturan semasa berada di Tanah Suci dan terus menjaga nama baik negara selepas Arab Saudi menyenaraikan jemaah Malaysia sebagai paling berdisiplin.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Direktorat Akhbar dan Maklumat Arab Saudi memutuskan untuk melarang mengambil gambar dan video di Masjidilharam, Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Portal Indonesia, Detik News turut melaporkan kerajaan Indonesia telah menerima surat daripada Kementerian Luar Arab Saudi pada 12 November 2017 lalu berhubung isu tersebut. - K! ONLINE