Pengarah Operasi (Perubatan) Madinah Lembaga Tabung Haji (TH), Dr. Hairul Izwan Abdul Rahman berkata, jemaah haji bagaimanapun dinasihatkan supaya meminum air itu secara berperingkat dalam tempoh 24 jam.

"Jemaah haji bukan minum air tiga liter itu secara sekali gus, tiga liter itu paling sedikit (minum) jadi mesti ambil lebih daripada tiga liter bagi memastikan badan kekal hidrasi.

"Mudahkan jemaah ingat paling kurang minum enam botol air mineral kecil 500ml itu sehari, suhu memang agak panas masa ini melebihi 46 darjah Celsius pada waktu tengah hari," katanya kepada Bernama di sini.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam Kelima itu pada musim haji tahun ini dengan dibantu 640 petugas TH.

Dr Hairul Izwan berkata, jemaah haji juga boleh mencampurkan garam Oral Rehydration Salt (ORS) dalam air minuman bagi menggantikan garam galian yang hilang dalam badan mereka.

"Di klinik kita (TH) ada garam ORS itu," kata pakar kesihatan awam itu yang mula bertugas di Tanah Suci pada musim haji 2004.

Selain itu, beliau berkata, jemaah haji juga dinasihatkan tidak keluar dari hotel penginapan mereka sekiranya tiada keperluan dan mengelakkan daripada terdedah terlalu lama kepada cahaya matahari.

"Jemaah dinasihatkan duduk di dalam bangunan, jika ke masjid pergi ke dalam bangunan masjid yang mempunyai kemudahan pendingin hawa. Duduk di luar sebenarnya panas dan kita kadangkala tidak perasan perkara itu," katanya. - Bernama