Dianjurkan buat kali ketujuh oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pertandingan ini bakal menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai sebanyak RM19,000 kepada semua pemenang.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri berkata, JPKL 2018 yang bertemakan “Jom Pancing, Rakyat Ceria, Komuniti Sejahtera” ini bakal menjadi satu lagi aktiviti riadah yang dinanti-nantikan oleh semua kaki pancing untuk beriadah bersama keluarga di tasik-tasik sekitar ibu kota.

“Tasik yang menjadi sebutan dalam kalangan kaki pancing ini semestinya amat dinanti-nantikan malah antara spesis ikan mega seperti patin bakal memberikan keseronokkan apabila kaki-kaki pancing berjaya menariknya.

“Sambutan yang diterima dalam pertandingan JPKL sebelum ini juga tidak pernah menghampakan terutamanya kaki pancing di sekitar ibu kota yang turut mengambil peluang menjadikan aktiviti ini sebagai riadah bersama keluarga dan rakan-rakan," jelas Khairul Anuar.

Khairul Anuar Mhd Juri (dua dari kanan) dan wakil para penaja Oyoshi serta IGLOO-UFL menunjukkan spe

Khairul Anuar Mhd Juri (dua dari kanan) dan wakil para penaja Oyoshi serta IGLOO-UFL menunjukkan spesis ikan patin dan pacu bagi pertandingan JPKL 2018 yang berlangsung Ahad ini.

Beliau berkata demikian ketika melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies antaranya patin dan pacu  yang bersaiz antara 2 hingga 5 kilogram di tasik itu hari ini.

Yuran RM35 dikenakan untuk sebatang joran dan sebanyak 1,000 penyertaan awal layak menerima cenderamata sumbangan penaja.

"Dengan yuran semurah RM35, JPKL 2018 menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 kepada juara, diikuti RM2,000 untuk naib juara dan pemenang ketiga bakal membawa pulang RM1,000.

"Pemenang keempat pula akan menerima RM300, kelima hingga ke-10 akan menerima RM200, pemenang tempat ke-11 hingga 100 pula akan menerima RM100 setiap seorang," ujarnya.

Turut memeriahkan JPKL 2018 ini ialah rakan strategik bersama iaitu Oyoshi Green Tea, dan Igloo-UFL.

Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu ini dari pukul 1 tengah hari hingga 9 malam dan Ahad bermula pukul 6.30 pagi hingga 10.00 pagi.

Maklumat lanjut layari laman facebook: JORANKL atau hubungi urus setia di talian 013-3052811, 013-2667011 dan 012-2846811. - K! ONLINE