Beberapa petugas media turut berkumpul di lobi Wisma Pertanian seawal pukul 8 pagi selepas dimaklumkan Jeffrey akan mempengerusikan mesyuarat bersama ketua-ketua jabatan yang dijadualkan pada pukul 10 pagi.

Bagaimanapun, tinjauan Kosmo! setakat pukul 1 petang tadi mendapati Jeffrey yang dilantik sebagai  Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan di bawah pimpinan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak kelihatan di kementerian terbabit.

Menurut sumber, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambunan itu sudah diberi peringatan supaya tidak menjalankan tugas 'menteri' memandangkan Musa bukan lagi Ketua Menteri Sabah.

"Saya jangka Jeffrey tidak akan hadir kerana sebelum ini beliau pernah diminta beredar meninggalkan bangunan (Wisma Pertanian) oleh anggota polis bertugas," katanya kepada Kosmo! hari ini.

Terdahulu, kelmarin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memaklumkan tiada seorang pun menteri Kabinet tidak sah dibenarkan masuk di mana-mana kementerian tanpa kebenaran pegawai kerajaan. - K! ONLINE