Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohammad Hamdan Wahid berkata, kaedah yang digunakan adalah sama seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini di Gunung Kinabalu iaitu dengan melantik malim gunung atau penunjuk arah yang mahir dengan selok belok kawasan berkenaan.

Katanya, Mosar akan bertindak mengikut respons menyelamat bomba kerana telah diberi latihan dan akan dibantu dari aspek logistk, perubatan dan sebagainya.

"Kita telah berbincang dengan Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara)  mengenai perkara ini kerana malim gunung atau pemandu pelancong ini mereka berdaftar dengan Perhilitan. Kita tak perlu ramai, mungkin dalam 15 orang dan mereka akan bergerak dalam tiga syif.

"Sebagai contoh, di Gunung KInabalu kita telah lantik 40 malim gunung menjadi anggota Mosar dan mereka dibayar elaun sebanyak RM200 sebulan bagi membantu pihak bomba  menjalankan kerja pencarian dan menyelamat," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja dan penyampaian amanat kepada pegawai JBPM Terengganu di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, khidmat Mosar akan diperluaskan ke negeri lain termasuk Terengganu yang memiliki banyak lokasi tumpuan pendaki dan membabitkan aktiviti rekreasi. - Bernama