Menterinya, Maszlee Malik berkata, jawatankuasa berkenaan akan diketuai pakar pendidikan dan mereka yang terlibat dalam kajian akademik.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan meneliti secara terperinci pandangan pelbagai pihak dengan mengambil kira kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta keharmonian antara kaum.

"Kita tidak akan lakukan secara terburu-buru tetapi pelaksanaan terhadap pengiktirafan itu perlu didahului dengan kajian secara holistik mengambil kira pandangan semua pihak," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Maszlee berkata, semua pihak harus diberi ruang untuk bersuara dan menyatakan pendirian sama ada menyokong, menolak atau memilih untuk berkecuali berhubung inisiatif pengiktirafan UEC.

"Perbincangan yang sihat dalam ruang awam adalah penting agar semua pihak boleh memahami  kegusaran dan keresahan masing-masing, dan cuba memahami titik tengah yang boleh diterima dengansyarat ia tidak berbaur sensitif dan membawa unsur perkauman," katanya.

UEC ialah sijil dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan. Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas. - Bernama