Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman yang merupakan bekas pegawai awam berpengalaman luas dalam bidang pengurusan pilihan raya.

Menurutnya, Ab Rashid akan dibantu oleh beberapa anggota yang sedang dikenal pasti bagi menjalankan tugas yang telah ditentukan bagi jawatankuasa itu.

"Jawatankuasa diberikan masa selama dua tahun untuk menyiapkan tugasnya termasuk mengemukakan laporan dan perakuan-perakuan kepada kerajaan untuk dihalusi dan dilaksanakan," katanya.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, dalam proses mengkaji segala aspek pengurusan pilihan raya, jawatankuasa perlu mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada pelbagai pihak khususnya pihak berkepentingan seperti parti dan ahli politik, pengundi dan badan bukan kerajaan. - Bernama