Mahathir berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh pegawai tertinggi kerajaan, bekas hakim atau ketua setiausaha dan akan melantik Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh sebagai urusetia.

"Isu pekerja asing become a very big problem for us (menjadi masalah besar kepada kita), terlalu ramai yang masuk dan ramai juga yang masuk tanpa izin, jadi kita perlu satu jawatankuasa bagi mengurus mereka (pekerja asing) ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas mengenai Senario dan Pengurusan Pekerja Asing di Malaysia di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Sumber Manusia M.Kula Segaran. 

Sementara itu, pada mesyuarat berkenaan, Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju untuk berbincang dengan kerajaan Bangladesh untuk membuka peluang kepada semua ejen rekrutmen yang berkredibiliti untuk proses pengambilan pekerja dari negara berkenaan.

Mahathir berkata setakat ini, terdapat 10 ejen rekrutmen dibenarkan bagi menguruskan kemasukan pekerja asing dari negara berkenaan dan ia menimbulkan masalah monopoli dan pengenaan caj yang tinggi.

"Jadi kita nak perluaskan kepada semua ejen supaya ada competition (saingan) antara mereka," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata satu sistem tunggal pengambilan pekerja tanpa pengasingan mengikut negara juga bakal diwujudkan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai sistem berkenaan. - Bernama