Demikian ditegaskan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya yang sebaliknya mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu tidak mencampuri urusan berkenaan sebaliknya bersama-sama memberi tumpuan serta idea bagaimana untuk memulihkan ekonomi negara ketika ini.

Katanya, perjanjian kononnya menetapkan had tempoh dua tahun kepada Mahathir sebagai Perdana Menteri difahamkan tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Pimpinan Presiden PH di peringkat awal melainkan hanya bersetuju menetapkan had tempoh jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal sahaja.

"Jadi mengapa perlu ada pihak khususnya pemimpin PH beriya-iya dan terlalu mementingkan sangat isu peralihan jawatan Perdana Menteri sedangkan Dr. Mahathir bertungkus-lumus pada saat ini menjalankan amanah rakyat untuk memulihkan semula ekonomi negara. Untuk memulihkan ekonomi negara, ia bukan boleh diselesaikan dalam satu malam sahaja, mungkin lebih dari dua tahun.

"Bagi saya, suara-suara yang mendesak Perdana Menteri untuk segerakan peralihan jawatan seolah-olah lupa akan tanggungjawab sebenar mereka kepada rakyat. PH mengambil alih kerajaan untuk membetulkan semula keadaan negara, bukannya untuk memenuhi kehendak peribadi mana-mana pihak," katanya di sini hari ini.

Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri itu mengulas kenyataan Ronnie menerusi portal berita semalam bahawa PH tidak pernah berjanji kepada para pengundi yang mana Mahathir akan menjadi Perdana Menteri sehingga ekonomi dipulihkan.

Sebaliknya janji yang diberikan menurut Ronnie ialah pelantikan interim Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah untuk tempoh dua tahun sebelum jawatan tersebut diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.

Dalam pada itu, Abu Bakar melontarkan persoalan kepada Ronnie apakah keutamaan sebenar Pengerusi DAP Selangor itu membuat kenyataan sedemikian sama ada untuk kepentingan negara atau sebaliknya.

"Kalau beliau (Ronnie) benar-benar utamakan kepentingan rakyat, adalah lebih baik beliau sama-sama mencari jalan untuk pemulihan negara bukannya membuat kenyataan seperti 'mencurah minyak ke dalam api'.

"Jawatan tidak penting, negara mesti diselamatkan dan kepentingan rakyat perlu diberi keutamaan," ujarnya. - K! ONLINE