Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon berkata, aduan itu adalah berkaitan perubahan warna air, air sungai berbau busuk dan berwarna hitam serta insiden ikan sungai mati.

Katanya, susulan aduan, siasatan telah dijalankan dan mendapati punca pencemaran itu adalah disebabkan pelepasan effluen industri yang mempunyai beban organik yang tinggi terutamanya dari industri berasaskan minyak sawit seperti 'oleo chemical', asas sabun, biodiesel dan kilang berasaskan makanan.

"Walaupun kesemua kilang tersebut telah dilengkapi dengan loji pengolahan effluen namun terdapat segelintirnya yang cuai dalam mengawal pelepasan dari premis sehingga menyebabkan effluen dilepaskan tanpa diolah terlebih dahulu," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini, hari ini.

Chen Choon berkata, sehingga kini siasatan terperinci masih terus dijalankan ke atas semua punca yang disyaki melepaskan effluen itu dan sekiranya berlaku pelanggaran terhadap Peraturan-“Peraturan dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan.

Ini termasuk mengeluarkan perintah penahanan operasi kelengkapan, notis arahan, kompaun dan tindakan mahkamah,” katanya.

Chen Choon berkata demikian sebagai menjawab soalan S. Gopalakrishnan (PH-Tiram) yang berharap JAS akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pencemaran yang berlaku di sungai itu. - Bernama