Tanpa hidangan istimewa Syawal, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 23, tetap merasakan sambutan Aidilfitri meriah sambil menonton acara pembukaan Piala Dunia Rusia 2018 di Stadium Luzhniki, Moscow.

"Tidak dinafikan rasa sedih itu ada tetapi ini semua dilakukan disebabkan tugas. Insya-Allah selepas pulang ke tanah air, saya akan terus meluangkan masa beraya dengan keluarga.

"Saya mula berangkat ke Rusia pada Isnin lalu sekali gus berpeluang menimba pengalaman berpuasa di rantau orang. 

"Sedang orang lain sibuk menyediakan persiapan Aidilfitri, saya pula menyambut malam raya dengan menonton acara pembukaan Piala Dunia Rusia 2018 di stadium," kata penyanyi lagu Mungkin Saja itu.

Pelakon drama rantaian Syurga Nur itu berangkat ke Rusia bersama pelakon, Alvin Chong selaku wajah produk telefon pintar, Vivo yang menjadi penaja Piala Dunia Rusia 2018.

Selain Alvin, Janna turut ditemani oleh pembantu peribadi, jurusolek dan adiknya, Nurul Balqis.

Acara pembukaan Piala Dunia Rusia 2018 dijadualkan berlangsung pada pukul 6 petang (waktu tempatan) dengan menyaksikan perlawanan pasukan Arab Saudi menentang tuan rumah, Rusia dari kumpulan A.

Difahamkan, Janna akan kembali pulang ke tanah air pada Syawal keempat sekali gus meraikan Aidilfitri di kampung halamannya, Alor Setar, Kedah. - K! ONLINE