Perjalanan dari Kuala Lumpur yang mengambil masa kira-kira dua jam 30 minit untuk tiba di sebuah lot tanah yang menempatkan rumah anak yatim tersebut begitu menginsafkan para peserta.

Selain asrama, turut disediakan ialah sebuah pejabat pentadbiran dan dewan yang digunakan untuk makan serta mengulangkaji pelajaran.

Senyum ketawa yang dipamerkan anak-anak antara usia tujuh hingga 17 tahun yang menghuni kediaman rumah anak yatim itu menunjukkan mereka gembira dan ceria.

Malah, kesudian mereka menerima kunju­ngan tetamu juga jelas terpancar pada wajah masing-masing apabila tidak kekok duduk bersama-sama kumpulan anak muda yang seramai 40 orang itu.

Kami makan bersama dan mereka juga gembira apabila sekotak ayam KFC bertukar tangan. Sambil makan, masing-masing rancak bercerita. Sudah tentu kumpulan anak muda itu juga memainkan peranan sehingga adik-adik itu selesa dan boleh berbual bersama.

Dalam kerancakan bercerita, rupanya dalam kalangan mereka ada adik-beradik kandung, saudara dan juga adik-beradik tiri yang dihantar keluarga untuk mendapatkan kehidupan lebih sempurna.

Kesemua penghuni di situ terdiri daripada anak-anak yatim piatu, fakir miskin selain ada juga yang terpaksa dihantar ibu apabila tidak mampu menyara dua anaknya dek kerana si bapa menjadi penghuni di tirai besi. Mereka juga datang dari pelbagai negeri.

Dalam 20 kanak-kanak itu, penulis tersentuh hati mendengar cerita dua beradik perempuan. Si kakak berusia 10 tahun manakala adik pe­rempuannya baru berusia tujuh tahun yang baru tiga bulan menjadi penghuni di rumah anak-anak yatim itu.

Sambil bergenang air mata, si kakak menceri­takan perasaan rindunya pada kampung halaman dan suasana tinggal bersama ibu mereka namun saat ditanya mana pergi lelaki yang sepatutnya melindungi kanak-kanak itu, sambil tersekat-sekat suara, dia berkongsi cerita mengenai bapa­nya yang merupakan seorang penagih dadah.

Dia dan adik terpaksa dihantar ibu ke rumah anak yatim tersebut kerana wanita itu tidak mampu memelihara mereka tiga beradik. Hanya adik bongsunya yang berusia enam bulan dijaga oleh si ibu.

Namun, kanak-kanak itu yang diajak berce­rita berkata, dia faham kesusahan ibu dan berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh. Dia juga berjanji untuk menjaga adiknya yang tinggal bersama-sama di rumah anak yatim itu dan turut membantu si adik membasuh pakaian serta mengemas tempat tidur. Murni sungguh si kecil itu, bisik hati penulis tika berbual dengannya.

Saat penulis seusia dengannya, apalah yang tahu dibuat. Hanya tahu pergi sekolah dan bermain. Sedih dan sayu mengenangkan nasib anak-anak ini tetapi penulis percaya, mereka ini bakal menjadi insan hebat satu hari nanti ke­rana dari kecil sudah pandai berdikari dan tahu makna tanggungjawab. Semoga cerah masa depan mereka dan akhirnya bukan sahaja dapat berbakti buat keluarga tetapi kepada bangsa dan negara.