Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohammad Omar berkata, jangkitan HIV dalam kalangan penagih dadah menunjukkan trend penurunan namun bilangan kes yang membabitkan pelaku seks bebas pula naik secara mendadak.

Menurut beliau, sebanyak 9,816 kes HIV direkodkan di Terengganu sejak tahun 1988 hingga Jun tahun ini dengan 8,338 kes berpunca daripada perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah manakala 1,083 kes lagi disebabkan risiko seksual. 

“Sebanyak 292 kes HIV (83 peratus) dilaporkan pada tahun 2010 melibatkan penagih dadah tetapi bilangannya semakin menurun kepada 102 kes pada 2015 dan 44 kes tahun lalu. 

“Apa yang berlaku sebaliknya, jangkitan HIV akibat seks bebas terutamanya membabitkan golongan homoseksual dan biseksual menunjukkan peningkatan daripada tiga kes (0.62 peratus) pada tahun 2005 kepada 27 kes (tahun 2016) dan 33 kes dicatatkan tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kembara Sihat Tanpa AIDS 2018 ‘Eksplorasi Menuju Sifar’ di Dataran Waterfront Kuala Berang di sini hari ini.

Dalam program itu, seramai 290 peserta yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bersama ahli keluarga mereka menyertai program kembara berbentuk pertandingan mencari harta karun serta kuiz mengenai pengetahuan asas HIV/AIDS selama dua hari yang berakhir di Bukit Tinggi, Pahang. - K! ONLINE