Pada September tahun lalu, seorang budak lelaki berusia enam tahun yang ditinggalkan di rumahnya yang terletak di tingkat 13 di Sentul, Kuala Lumpur ditemui mati di laluan pejalan kaki di hadapan blok berkenaan.
Semasa kejadian, bapa kanak-kanak itu keluar bekerja manakala ibunya berniaga pisang goreng di hadapan apartmen berkenaan.
Kejadian kanak-kanak maut sama ada terjatuh dari tempat tinggi atau terperangkap dalam kebakaran sebenarnya bukanlah perkara baharu.


Penulis sendiri sehingga kini masih terkesan dengan pengalaman membuat laporan seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun mati selepas terjatuh dari tingkat empat kuarters yang dihuni keluarganya di Melaka.
Walaupun kejadian berkenaan telah berlaku kira-kira 10 tahun lalu, penulis masih mengingati dengan jelas butir-butir kejadian itu.
Ketika kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, kanak-kanak malang itu dipercayai telah memanjat tembok di beranda pintu dapur rumahnya sebelum dia tergelincir dan terjatuh.


Semasa kejadian, ibu bapa  kanak-kanak  tersebut tiada di rumah kerana pergi ke sebuah kedai runcit dan mangsa ditinggalkan sedang tidur bersama seorang adiknya berumur dua tahun.
Mangsa yang dipercayai terjaga kemudian membuka pintu dapur dan memanjat tembok rumah kerana mencari ibu bapanya, tetapi terjatuh.
Entah benar atau hanya kebetulan, penulis se­ring terdengar kanak-kanak kecil ini seolah-olah mempunyai ‘bau’ ibu bapa mereka dan mudah terjaga jika kedua-duanya terutama ibu tiada berhampiran.


Kejadian itu secara peribadi memberi kesan yang amat dalam kepada penulis sehingga penulis tidak berani meninggalkan anak-anak yang masih kecil di rumah sendirian walaupun hanya untuk beberapa minit sahaja.
Ada ibu bapa yang meninggalkan anak sendirian di rumah untuk keluar bekerja, malah ada yang meninggalkan anak untuk pergi ke pasar atau membeli sarapan.
Dalam keadaan ekonomi yang mencabar masa kini, penulis memahami keperluan kedua-dua suami isteri bekerja. Ditambah dengan kos di pusat-pusat penjagaan yang semakin tinggi, terdapat ibu bapa yang mengambil jalan mudah dengan me­ninggalkan anak-anak sendirian walaupun mereka sebahagiannya masih belum bersekolah.


Namun bak ibarat pepatah Melayu, malang tidak berbau. Sehubungan itu, kita jangan mengambil enteng dengan berpendapat tidak ada apa berlaku sepanjang anak ditinggalkan sendirian.
Pelbagai perkara boleh sepanjang ketiadaan kita di rumah. Mungkin boleh berlaku litar pintas yang menyebabkan kebakaran. Mungkin juga rumah kita diceroboh perompak. Beringat sebelum kena lebih baik daripada menyesal pada kemudian hari.