Menurut Survei Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, angka pengangguran pada bulan Ogos 2018 adalah 525,000 orang, menandakan penurunan 1.6 peratus berbanding September 2017.

Dengan kadar pengangguran negara 3.3 peratus pada September 2018, turun 0.1 peratus berbanding bulan sebelum, kadar penyertaan tenaga buruh pula mencatatkan 68.5 peratus dengan 14.93 juta rakyat Malaysia bekerja.

Di samping itu, sebanyak 31.5 peratus atau 7.10 juta penduduk umur bekerja, yang berusia 15 hingga 64 tahun, berada di luar tenaga kerja buruh. Mereka terdiri daripada suri rumah, pelajar dan kalangan individu yang tidak berminat untuk bekerja.

Sementara itu, menerusi satu laporan media yang memetik kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, dalam tempoh sehingga 30 September tahun ini, seramai 15,903 orang diberhentikan kerja berbanding 35,097 pada 2017.

Sungguhpun jika melihat statistik di atas, kita pasti berasa gerun memandangkan modal insan memainkan peranan penting dalam perkembangan dan kemakmuran ekonomi agar negara kekal kompetitif di peringkat serantau mahupun global.

Tetapi Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Kedua 2018 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan pada 15 November lalu menunjukkan bilangan permintaan buruh bagi sektor swasta tumbuh sebanyak 0.3 peratus tahun ke tahun kepada 8,474 berbanding 8,449 pada suku sama tahun sebelum.

Sementara jawatan diisi telah merekodkan pertumbuhan sebanyak 0.6 peratus kepada 8,274,000 dan kekoso­ngan jawatan berada pada 200,000, di samping 27,000 peluang kerja wujud dalam tempoh berkenaan.

Ketidakpadanan kemahiran dengan keperluan industri, persekitaran ekonomi yang mencabar, kelemahan dalam berkomunikasi, sikap memilih serta jangkaan yang terlalu menggunung terhadap suatu pekerjaan merupakan antara faktor yang mempengaruhi kadar pengangguran.

Pada era teknologi hari ini, kita tidak seharusnya melihat kerjaya seperti kakitangan awam, peguam, guru dan doktor sebagai kayu pengukur kejayaan dan jaminan hidup masa hadapan. Malah, masa hadapan adalah satu misteri. Adakalanya mempunyai pekerjaan pada hari ini tidak menjanjikan kita akan kekal dengan kerjaya itu ­selamanya.

Pengalaman selama 14 tahun sebagai wartawan telah mendedahkan saya dengan pelbagai bentuk pekerjaan dalam segenap peringkat.

Apa yang saya sedari, kecintaan, keikhlasan, semangat yang tidak pudar, berfikiran positif dan inovatif serta keinginan untuk menjadi lebih baik dalam aspek kemahiran dan ilmu merupakan elemen penting dalam kesejahteraan kerjaya masa depan.

Selain itu, memberi peluang kepada diri dan berani mencuba, di samping diberi kepercayaan dan peluang oleh majikan juga antara perkara yang mampu memacu kerjaya individu.

Sememangnya tidak mustahil untuk membuat sesuatu yang di luar kelayakan biasa ataupun apa yang dipelajari di peringkat pengajian tinggi.

Belajar dalam bidang sains samudera tidak bermaksud akan menjadi saintis lautan tetapi mungkin membina kerjaya sebagai wartawan, menuntut ilmu al-Quran tidak bermaksud akan hanya menjadi ustaz atau ustazah tetapi juga berpeluang terlibat bidang kewangan dan perubatan. Terus bekerja selepas tamat persekolahan pula mungkin dapat membina jati diri untuk berjaya pada masa depan.

Suatu usaha itu tidak sia-sia sekiranya kita menghargai peluang yang diberikan dan menyahut cabaran yang datang.