Muncul sebagai naib juara bolehlah dianggap sebagai kejayaan kepada skuad negara selepas apa yang berlaku. Kejayaan itu sedikit sebanyak dikaitkan dengan kehadiran pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh dari Gambia yang memberi impak serta dimensi baharu terutama di bahagian jentera serangan.

Kemudian timbul pendapat bahawa beberapa pemain asing diperlukan lagi dalam skuad negara untuk menambah kekuatan pasukan.

Bagaimanapun, harus diingat sampai bila kita perlu bergantung kepada idea naturalisasi ini biarpun ia hanya dianggap sebagai pelan jangka pendek kerana tiada jaminan pemain yang diberi kerakyatan itu mampu mengekalkan prestasi.

Suka atau tidak, bola sepak kita memerlukan program pembangunan yang mampan, berkesan serta berterusan supaya matlamat jangka panjang dapat dicapai selain lebih ramai pemain berbakat dapat dihasilkan pada masa depan.

Perkembangan terbaharu mungkin sedikit melegakan apabila dua pemain tempatan, Shahrel Fikri Md. Fauzi dan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak berjaya ‘menjual’ bakat mereka di luar negara apabila dipilih untuk beraksi bersama pasukan kelab Liga Divisyen 1 Thailand, Nakhon Ratchasima FC dan Fagiano Okayama yang beraksi di Liga Divisyen 2 Jepun.

Seluruh peminat bola sepak tanah air berharap, dua pemain ini mampu untuk bertahan bersama kelab masing-masing. Ketepikan segala perkara yang boleh menjatuhkan semangat kerana matlamat utamanya adalah menimba ilmu serta pengalaman sebelum kembali mencurahkannya dalam skuad Harimau Malaya.

Peluang beraksi di luar negara, di liga Thailand dan Jepun pastinya tidak sama kerana tahapnya sahaja sudah berbeza berbanding Liga Malaysia.

Perjuangan untuk memartabatkan sukan bola sepak selepas ini bukan sahaja terletak di tangan dua anak muda itu, malah kita mahu melihat lebih ramai bakat bola sepak negara ‘dieksport’ ke luar negara.

Justeru, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi kepimpinan Datuk Hamidin Mohd. Amin perlu mencari idea yang lebih baik dalam usaha meletakkan bola sepak negara di suatu fasa yang lebih baik.

FAM perlu menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan persatuan bola sepak di luar negara, mencari lebih banyak peluang kepada pemain tempatan untuk mendapatkan ruang beraksi di luar serta membantu pemain sepanjang mereka berkelana.

Lihat sahaja Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) yang berjaya memasarkan puluhan pemain mereka ke Eropah dan seluruh dunia sekali gus menyaksikan mereka tidak pernah terlepas untuk mara ke pusingan akhir Piala Dunia.

Thailand juga sudah me­ngorak langkah apabila ketika ini lima pemain mereka berjaya menempatkan diri bersama pasukan yang beraksi bersama kelab Liga Divisyen 1 Jepun contohnya Teerasil Dangda­ (Sanfrecce Hiros­hima), Chanathip Songkrasin (Con­sadole Sapporo), Chaowat Veerachart (Cerezo Osaka), Jakkit Wachpirom (FC Tokyo) dan Theerathon Bunmathan (Vissel Kobe).

Apa yang perlu menjadi keutamaan ketika ini adalah mewujudkan lebih ramai pemain berkualiti bagi memudahkan kerja sesiapa juga yang dilantik menjadi jurulatih skuad kebangsaan bagi memi­lih pemain.

FAM pula perlu memainkan peranan yang proaktif membantu mana-mana pemain yang beraksi di luar negara supaya mereka mampu bertahan berdepan cabaran di negara orang.

Penulis juga terfikir, jika kita boleh menyediakan biasiswa untuk pelajar kita menuntut ilmu di luar negara, sepatutnya itulah juga yang perlu dilakukan dalam sukan bola sepak.

Pemain yang mendapat peluang beraksi di luar negara tidak seharusnya dibiarkan bersendirian. Jika perlukan nasihat berikan mereka nasihat, andai masalah kewangan menyebabkan mereka hilang fokus, maka permudahkan urusan mereka kerana hasilnya untuk kita nikmati bersama.