Namun, dalam konteks masyarakat, kebanyakan daripada kita kurang didedahkan dengan konsep kepentingan melabur untuk meningkatkan nilai serta kemahiran diri.

Penulis yakin, masih ramai masyarakat yang menganggap bahawa selepas tamat persekolahan atau pengajian di universiti, fasa mereka untuk meneruskan pembelajaran dan menimba ilmu sudah berakhir apabila memasuki alam pekerjaan.

Tanggapan sebegini seharusnya diubah kerana proses pembelajaran tidak terhenti setelah tamat pengajian formal, malah ia perlu diteruskan walaupun kita sudah lanjut usia.

Realitinya, kesibukan kerja dan kekangan masa yang dihadapi ramai daripada kita dikatakan menjadi antara batu penghalang untuk menghadiri kelas atau seminar apabila sudah bekerja.

Ada pula yang mahu mengumpul duit untuk pergi bercuti bersama rakan atau keluarga, membeli kereta baharu dan rumah idaman.

Bagaimanapun, semua itu boleh diatasi dengan pengurusan kewangan serta masa yang baik selain mempunyai semangat untuk memperbaiki diri.

Tiada apa yang merugikan jika melaburkan sedikit pendapatan bagi mempelajari perkara baharu. Percayalah, setiap sen yang dilaburkan untuk mencari ilmu kemahiran diri pasti akan mendatangkan hasil berguna kepada kita pada masa hadapan.

Alam pekerjaan kini sudah berubah serta wujud terlalu banyak persaingan untuk mendapatkan kerjaya yang stabil dan kukuh. Tambahan pula, cabaran Revolusi Industri 4.0 yang banyak menggunakan sistem automasi sebagai ganti tenaga manusia.

Lantaran itu, setiap daripada kita perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran untuk terus kekal relevan dalam dunia pekerjaan di samping meningkatkan peluang dinaikkan gaji atau pangkat.

Selain itu, kita juga perlu mengambil kira risiko yang mungkin akan dihadapi sesebuah organisasi tempat kita bekerja apabila berlaku sebarang perubahan akibat ketidaktentuan ekonomi dan persaingan dalam industri.

Kemahiran tambahan inilah yang diperlukan untuk mencari peluang pekerjaan baharu.

Pelbagai program kemahiran kendiri di luar sana menawarkan kursus secara percuma seperti pengajian online daripada Massive Open Online Courses (MOOCs) Malaysia yang ditawarkan secara terbuka dan percuma.

Di MOOCs Malaysia sahaja lebih 884 kursus ditawarkan kepada orang ramai yang boleh diakses di mana jua tanpa mengira masa dan tempat.

Justeru itu, tiada alasan lagi untuk kita tidak menambah ilmu kemahiran untuk kegunaan semasa mahupun pada masa hadapan.

Selain itu, ilmu pengetahuan yang diperoleh hasil daripada pelaburan kita bukan sahaja boleh diaplikasikan pada diri sendiri malah dikongsi kepada orang lain.

Perkongsian ini dalam masa yang sama boleh digunakan untuk mencari pendapatan sampingan dengan mengadakan kelas atau seminar berbayar dalam skala yang kecil dan mungkin ia akan bertukar menjadi sumber pendapatan utama jika dilakukan secara berterusan.

Ilmu kemahiran juga tidak perlu dibataskan kepada hal-hal dunia sahaja, malah bagi umat Islam ilmu berkaitan akhirat adalah paling utama dan perlu diberi perhatian.

Ramai beranggapan mempelajari ilmu agama tidak boleh membawa seseorang itu jauh ke hadapan dalam kerjaya, tetapi sebaliknya tanpa kita sedari ia sebenarnya yang akan memberikan kita segala perkara yang dihajati di dunia ini.

Maka, setiap daripada kita tidak usah memberikan seribu satu alasan untuk tidak membelanjakan sedikit wang dan meluangkan masa bagi mencari ilmu pengetahuan yang dapat meningkatkan nilai dan kemahiran diri sendiri.