Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam satu kenyataan semalam berkata, perbuatan tidak beretika itu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan gambar-gambar yang mengganggu sensitiviti masyarakat.

“Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan, memuat naik atau berkongsi kandungan gambar-gambar pelajar tingkatan dua SMK Tuanku Abdul Rahman yang maut akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput melalui media sosial seperti WhatsApp,” kata kenyataan itu.

Di Kuala Berang, Terengganu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari meluahkan rasa tidak puas hatinya atas penularan berita kematian pelajar perempuan berkenaan.

“Jangan sibuk untuk menjadi jaguh dengan cara tularkan be­rita di media sosial hingga lupa sensitiviti mangsa apatah lagi melibatkan kematian,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Tok Randok, Ajil semalam.