Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim berkata, pihaknya memandang serius penyalahgunaan ungkapan atau penandaan halal kerana ia boleh mengelirukan umat Islam.

"Penyalahgunaan ungkapan atau penandaan halal merupakan kesalahan dibawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM250,000 dan RM500,000 bagi kesalahan berikutnya jika disabit kesalahan. 

"Justeru, peniaga dan pengusaha industri makanan disarankan mengemukakan permohonan pensijilan halal dengan kadar segera bagi membolehkan promosi Bufet Ramadan mengikut peraturan yang telah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Jelas Haris, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan menyeluruh turut dijalankan sepanjang Ramadan terhadap mana-mana premis yang menjual makanan kepada umat Islam pada waktu siang dan kawasan terbuka. 

Ujarnya, mereka yang didapati melakukan kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 19 Enakmen 9 Tahun 1995 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana tidak menghormati Ramadan.

"Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali," jelasnya. - K! ONLINE